Thursday, April 24, 2014

ARTIKEL: USAHAWAN BERJAYA DI DALAM BIDANG KOSMETIK

ARTIKEL 1:

Rezeki kini datang berganda

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my






BERHENTI kerja sebagai pengatur cara komputer semata-mata mahu menjual minyak wangi.Bagi mereka yang mendengarnya pasti menganggap gadis manis yang berusia 27 tahun ini membuat satu kerja yang gila!Orang mungkin beranggapan seolah-olah hal yang tidak masuk akal bagi seseorang yang sudah belajar tinggi dan mempunyai karier bagus tetapi kemudian mahu berhenti untuk menjual minyak wangi.

Bazlina Ridzuan punya alasan tersendiri yang membuatkannya sanggup mengambil risiko. Dia juga menyedari rasional di sebalik keputusannya.
"Melihatkan keuntungan yang diperoleh daripada jualan One Drop Perfumes yang dilakukan secara sambilan lebih lumayan berbanding gaji bulanan yang diterima, saya tekad berhenti kerja untuk menjualnya sepenuh masa.
"Dulu, balik kerja malam dalam pukul 10, kemudian jual One Drop Perfumes secara sambilan. Jika ada pelanggan nak barang, saya perlu hantarkan kepada mereka," katanya.
Pada mulanya Bazlina tidak berminat langsung untuk menjualnya kerana bungkusannya tidak menarik. Selepas pembungkusannya bertukar wajah dan tampak lebih eksklusif, dia mula menjualnya pada tahun 2008.
Asalnya, Bazlina hanya mengambil 10 kotak One Drop Perfumes melalui rakannya dan menjualnya di pejabat.Berikutan permintaan yang memberangsangkan, jumlah kotak yang dijual semakin hari semakin bertambah.Mula bertatih dalam perniagaan secara dalam talian sambil menjadikan rumahnya sebagai pejabat selama dua tahun, dia kemudian menyertai abangnya yang mempunyai premis perniagaan iaitu Rizi Biz Shop.
"Modal permulaan yang saya laburkan untuk perniagaan One Drop Perfumes ini ialah sebanyak RM5,000 dan hasil keuntungan jualan tersebut mampu memperluaskan lagi perniagaan sedia ada dengan menjual pelbagai barangan kosmetik lain.



BAZLINA akan terus menjual One Drop Perfumes selagi ada banyak permintaan daripada pelanggan.

"Walaupun turut menjual produk kosmetik lain, One Drop Perfumes mencatatkan hasil jualan yang tinggi. Kini, jualannya mencecah RM70,000 sebulan," ujar pengurus di Rizi Biz Shop itu ketika ditemui di pejabatnya di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi baru-baru ini.
Menurut Bazlina, jualan yang paling tinggi yang pernah diperolehnya ialah sebanyak RM1 juta sebulan. Rekod jualan yang diperoleh pada tahun 2009 itu adalah ketika dia menjadi satu-satunya stokis One Drop di Bangi.

Pengguna setia

Tidak dinafikan, sudah lumrah perniagaan pasti ada pasang surutnya. Namun, apabila tiba musim puasa dan raya, jualan One Drop Perfumes semakin meningkat dengan adanya Kempen Badan Wangi, Poket Berisi.

"Walaupun ada saingan dengan minyak wangi yang lain, One Drop Perfumes ada pengguna setianya sendiri. Kebanyakan pelanggan akan membuat pembelian minimum sebanyak 30 kotak yang berharga RM40 dan RM45 setiap satu.

"Penjualan dalam talian tetap diteruskan walaupun sudah ada premis perniagaan sendiri kerana majoriti pelanggan dalam talian daripada Sabah dan Sarawak," katanya sambil memberitahu pembelian paling sedikit yang dibeli pelanggan dalam talian ialah sebanyak 10 kotak.
Jika dahulu, bekas penuntut Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak ini terpaksa menahan segala keinginannya membeli sesuatu untuk dirinya, kini, apa yang dihajati dapat ditunaikan.

Daripada memandu kereta Viva kemudian beralih ke Alza, gadis yang masih bujang ini bakal memiliki jentera idamannya, Honda.Bazlina memberitahu, orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang membeli set One Drop Perfumes yang bernilai RM40 sepanjang tempoh kempen Kempen Badan Wangi, Poket Berisi yang akan berakhir September ini kerana mereka bakal mendapat habuan duit raya."Dalam kempen duit raya tahun 2010 lalu, saya sangat teruja apabila mendapat baucar tunai RM200 dalam kotak One Drop Perfumes.

"Memang banyak untungnya apabila menjual One Drop Perfumes ini, tetapi apabila bercerita tentangnya, ramai yang tidak akan percaya," ujarnya yang mampu menjual lebih 300 kotak sehari kepada pelanggan dalam talian.


MENURUT Siti Veeda, One Drop Perfumes mendapat sambutan ramai kerana tidak mengandungi alkohol selain baunya yang tahan lama.Ketika ditanya, sampai bila dia mahu menjual One Drop Perfumes, Bazlina dengan yakin menjawab: "Selagi ada banyak permintaan, selagi itulah saya akan menjualnya."
Dalam pada itu, Siti Veeda Mak Su, 29, yang mula menjual produk One Drop Perfumes sejak tahun 2009 di kios, Carrefour Wangsa Maju mengakui bahawa ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Pada mulanya, rakan Siti mengesyorkan agar meletakkan produk One Drop Perfumes di kiosnya. Sebanyak 10 kotak yang diberikannya habis dijual dalam masa yang singkat.

Laris dijual


"Melihat ia laris dijual, kemudian saya mengambil sendiri stok lebih kurang 20 kotak dan semuanya terjual dalam masa tiga hari," katanya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan dan kini menetap di Kajang.Berbekalkan modal permulaan serendah RM175, ibu kepada seorang anak ini memperolehi keuntungan yang sangat berbaloi.

Siti Veeda memberitahu, ramai pelanggannya dalam kalangan pelajar yang suka membeli One Drop Perfumes secara berasingan kerana ia dijual pada harga RM7 sebotol berbanding RM40 hingga RM45 sekotak.
"Jualan semakin meningkat dan pelanggan ramai membelinya ketika tiba hari gaji dan waktu menjelang puasa dan raya.


"Jika dulu untung berniaga sekadar cukup-cukup makan sahaja, namun sejak jual One Drop Perfumes keuntungan jadi berganda," ujarnya yang mendapat sokongan penuh suami, Shahril Asraf Abdullah, 34, untuk berniaga.
Katanya, sepanjang Kempen Badan Wangi, Poket Berisi tahun lalu, lebih 300 kotak One Drop Perfumes dijual.Dia dan suami bukan sahaja menjual produk One Drop Perfumes, malah menggunakan haruman tanpa alkohol tersebut kerana gemarkan wangi-wangian.


"Istimewanya One Drop Perfumes ini, baunya tahan lama, murah, baunya persis minyak wangi mahal dan boleh digunakan untuk bersolat.
"Jarang orang tua pakai minyak wangi, tetapi ramai yang datang membelinya kerana ia tidak mengandungi alkohol," katanya yang pernah mencatatkan jualan mencecah RM10,000 sebulan dan RM1,000 sehari menjelang raya.
Jika ada dalam kalangan pelajar mahupun penuntut universiti yang berminat untuk menjual One Drop Perfumes, Siti Veeda sangat mengalu-alukannya.
"Sekurang-kurangnya mereka boleh membantu menambahkan pendapatan keluarga di samping mencari duit poket sendiri," ujarnya.


ARTIKEL 2:

Aliff Syukri cetus fenomena


Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI

MEMILIH slogan Terlajak Laris, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman bertekad untuk menjadikan produk D'Herbs Healthy Sdn Bhd terus laris di pasaran dan menjadi pilihan setiap orang.

Sebagai pengasas produk kosmetik paling muda di Malaysia, kini berusia 25 tahun, Aliff Syukri tidak pernah ketandusan idea bagi memajukan lagi perniagaan yang sudah tiga tahun bertapak di Malaysia.Hasil kerja keras beliau, hari ini produk D'Herbs Healthy Sdn Bhd menjadi jenama yang mencetuskan fenomena di dalam industri herba kesihatan dan kosmetik di negara ini.

Bertemu dengan ayah kepada tiga orang cahaya mata ini di pejabat beliau di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor, ternyata beliau seorang yang begitu peramah dan tidak meninggi diri.Mungkin juga ini yang menjadikan beliau begitu disenangi di kalangan mereka yang terlibat dengannya seperti stokis, pengedar, pengguna juga kakitangannya sendiri.

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik ini, beliau bersyukur kerana hasil kerja yang tidak pernah mengenal penat, kini D'Herbs Healthy Sdn Bhd mempunyai seramai 6,000 orang stokis di seluruh negara.
''Sehingga ke hari ini, kami telah mengeluarkan sebanyak 60 jenis produk yang khusus untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.''Slogan 'Terlajak Laris dengan tidak secara langsung memberikan motivasi kepada saya untuk terus mengeluarkan produk terbaru untuk pengguna yang sentiasa mahukan sesuatu yang baru.

''Produk terbaru D'Herbs Healthy Sdn Bhd ialah pewarna rambut super lebat yang wajib dicuba. Terdapat dalam warna hitam dan perang, keistimewaan pewarna rambut ini ialah ia diadun khusus untuk lelaki dan wanita Islam yang mementingkan kesucian dan kebersihan.
''Menggunakan bahan utamanya, iaitu inai (mountain rose herbs), bahan-bahan campuran lain ialah kelopak bunga raya, bunga marigold, teh kamomil dan daun rosemary.''Justeru itu pengguna tidak perlu bimbang kerana tiada bahan kimia yang terdapat di dalamnya yang boleh menjejaskan kesihatan. Paling penting produk ini halal dan boleh dibawa sembahyang. Pewarna rambut ini memang berkesan dan pihak kami sanggup memulangkan wang jika pengguna mendapati ia tidak berkesan,'' kata Aliff Syukri yang dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang.

Tambah beliau lagi, walaupun baru tiga bulan di pasaran namun sambutan yang diterima daripada seluruh negara terhadap pewarna rambut ini memang amat memberangsangkan.Beliau berkata, satu lagi produk yang merupakan antara produk terlaris D'Herbs Healthy Sdn Bhd ialah minuman jus kesihatan berherba Gamolex Gold.

Minuman jus kesihatan Gamolex Gold yang dijual pada harga RM88.80 ini kata beliau, boleh membantu merawat 1001 jenis penyakit seperti lemah jantung, kencing manis, kolestrol, sakit sendi, sakit lutut, osteoporosis, strok, asma, gout, prostat dan lemah tenaga batin.

Menceritakan pengalaman ngeri yang menimpa beliau tidak lama dulu Aliff Syukri berkata, peristiwa ditimpa kemalangan yang menyebabkan mukanya hampir hancur dan hidung patah, menjadi titik permulaan kepada terciptanya minuman jus kesihatan Gamolex Gold.

''Doktor memberitahu kecederaan di muka saya memang teruk dan mengambil masa yang lama untuk pulih. Saya teringat tentang keistimewaan gamat dan kemudian meletakkan lendir gamat pada muka saya.''Ternyata ia amat berkesan dan Alhamdulillah luka pada muka saya semakin sembuh dalam masa dua minggu sahaja sedangkan doktor berkata proses penyembuhan mengambil masa selama tiga bulan.

''Daripada situ, saya meminta seorang saintis untuk membuat kajian dan menghasilkan satu produk yang berkesan untuk membantu menyembuhkan luka dan penyakit. Dan lahirlah Gamolex Gold.''Gamolex Gold mengandungi campuran 30 jenis herba dan kesannya sudah boleh dilihat pada pengambilan satu botol atau penggunaan satu atau bulan sahaja. Namun sebaiknya diteruskan bagi mendapatkan hasil yang lebih memuaskan,'' ujar Aliff Syukri yang menyasarkan pada pengguna yang berpendapatan sederhana.
Beliau turut memberitahu bahawa D'Herbs Healthy Sdn Bhd yang mempunyai kilang sendiri, iaitu Aliff Herbs Manufacturing di Kuala Selangor akan mengeluarkan satu lagi produk baru dalam masa terdekat ini serta membuka sebuah spa di Damansara.

Langkah tersebut adalah untuk melindungi pengguna daripada tertipu dengan bahan-bahan yang tidak selamat dan merbahaya pada kesihatan.
Beliau menjelaskan, selain berniaga, harapan beliau adalah untuk membantu golongan yang berpendapatan sederhana dan dalam masa yang sama tidak membebankan pengguna.

Katanya, D'Herbs membuka peluang kepada semua untuk menjadi usahawan atau pengedar dengan modal serendah RM350 sahaja. Keuntungan yang diperoleh adalah di antara 30 hingga 40 peratus. Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi stokis negeri atau ibu pejabat. Bercerita lebih lanjut, Pengarah Urusan D'Herbs ini berkata, sebagai menghargai usaha para stokis, pengedar dan pengguna, pihaknya akan mengadakan Malam Gala D'Herbs yang bertemakan Semalaman Di Los Angeles pada 27 April ini bertempat di Sunway Lagoon Resort Hotel.

Seramai 1,500 orang stokis, pengedar dan pengguna dijangka hadir. Turut dijemput ialah pengasas kosmetik yang lain.Pada malam itu nanti, pihak D'Herbs akan menyampaikan anugerah kepada pengedar dan pengguna yang mencapai tahap jualan yang tinggi.
Selain berpeluang beramah mesra dengan beliau sendiri, para hadirin akan dihiburkan dengan persembahan artis-artis terkenal seperti Anuar Zain, Adira, Misha Omar dan Bienda.

Aliff Syukri berkata, ini merupakan malam gala pertama yang diadakan oleh D'Herbs Healthy Sdn Bhd.''Pada tahun-tahun lalu, pihak kami hanya mengadakan bengkel-bengkel kecantikan di seluruh negara. Namun tahun ini, kami mempunyai peruntukan dan kami ingin berkongsi dengan mereka yang telah turut memajukan syarikat ini,'' katanya lagi.

ARTIKEL 3:

Natasya kebanggaan Muniroh

Oleh: BINTU RASYADA A. RAHMAN (E-mel wanitamingguan@utusan.com.my)

MUNIROH bersama suami yang menjadi tulang belakang kejayaannya.



LEDAKAN industri kosmetik tempatan yang bermula tidak sampai 10 tahun lalu menyaksikan kemunculan pelbagai jenama yang tumbuh bak cendawan. Bagi pengusaha yang bernasib baik dan kebetulan produk yang dihasilkan bertepatan dengan permintaan semasa, pastinya meraih kegemilangan namun ada juga kecundang di tengah jalan.
Tidak dinafikan, perniagaan berasaskan kecantikan sememangnya menjanjikan pasaran yang meluas. Kerana itu tidak hairanlah beberapa pengasas kosmetik tempatan telah pun bergelar jutawan dan tidak kurang juga yang mula dilingkari kemilau glamor. Antaranya pengasas produk Natasya, Datin Muniroh Kassim yang turut merasai tempias tersebut.
Berpeluang menemui beliau di pejabat pengurusan Natasya baru-baru ini, Pancaindera cuba mengungkap rahsia di sebalik kejayaan beliau.
Sebagaimana gahnya nama Natasya di pasaran tempatan ketika ini begitu juga dengan Muniroh yang sentiasa tampil bergaya. Namun itu tidak bererti dirinya sudah boleh bersenang-lenang dan mendabik dada. Katanya, ini hanyalah permulaan dan perjalanan Natasya masih jauh lagi terutama dalam meneroka pasaran global.
Empat tahun membina empayar perniagaan berasaskan kecantikan dan kesihatan, Muniroh bertuah kerana mempunyai suami yang banyak membantu dari mula hingga kini.
“Suami saya, Datuk Suhaimy Othman banyak membantu saya membawa jenama Natasya,” ujarnya.
Menceritakan jejak awal Natasya, beliau berkata ketika itu hanya menghasilkan produk ini secara kecil-kecilan menggunakan resipi warisan tanpa mempunyai jenama.
“Sasaran saya ketika itu hanya rakan- rakan, sanak saudara dan pekerja-pekerja kilang,” katanya. Selepas melihat jualan produk tersebut memberangsangkan, suaminya yang sebelum ini terlibat dengan pelbagai jenis perniagaan mula merasakan peluang yang besar dalam bidang kecantikan dan kesihatan.
Dengan itu, mereka berdua mengambil langkah melakukannya secara komersial dan mendapat ilham jenama Natasya sempena nama cucu sulung perempuan mereka.
Ternyata usaha yang tidak mengenal erti jemu membuahkan hasil yang membanggakan apabila produk Natasya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
“Tiada masalah yang tiada jalan penyelesaian. Perkara paling penting adalah percaya kepada kemampuan diri dan tangani setiap situasi dengan profesional dan sekiranya ada masalah, saya merujuk kepada suami,” katanya yang kini mempunyai stokis di seluruh Malaysia dan juga Brunei.
Sebagai pengasas Muniroh tidak boleh memikirkan keuntungan semata-mata hingga menyisihkan kepentingan orang sekeliling. Selain mempelajari ilmu perniagaan, beliau turut melengkapkan diri dengan ilmu tentang herba untuk memastikan produk yang dihasilkan terbukti berkesan dan tidak memudaratkan pengguna.
Ketika ditanyakan mengenai khabar angin yang menyatakan Natasya sebenarnya adalah perusahaan yang dikongsi bersama bukan bumiputera, Muniroh sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut.
Tegasnya, produk Natasya 100 peratus dimiliki oleh beliau dan suaminya termasuk bangunan yang menempatkan pejabat pengurusan turut dinamakan atas nama anak-anak mereka.
“Biasalah dalam perniagaan pasti ada yang dengki melihat kejayaan kita,” ujarnya. Sambil menambah beliau tidak gentar dengan dakwaan seperti itu kerana berpegang kepada kebenaran dan beliau juga yakin pengguna sendiri bijak menilai.
Mengenai persaingan dengan pelbagai produk tempatan yang semakin banyak hari ini, Muniroh menganggapnya sebagai sesuatu yang sihat.
“Rakyat Malaysia ramai dan saya percaya ramai orang yang mahu kelihatan cantik. Jadi mereka tentu bijak memilih produk yang terbaik untuk diri sendiri. Saya tidak pernah rasa iri hati melihat kejayaan produk lain, masing-masing ada rezeki masing-masing dan saya juga mempunyai hubungan baik dengan beberapa pengasas produk tempatan yang terkenal,” jelasnya.
Setakat ini, Natasya sudah mempunyai lebih 20 produk kecantikan dan kesihatan termasuk yang terbaru, minuman gamat berperisa prun. Menurut Muniroh lagi, penghasilan produk Natasya menggunakan teknologi terkini yang dihasilkan di kilang yang terletak di Parit Buntar, Perak.
Ternyata langkah Muniroh tepat dalam bidang yang dipilihnya kini dan beliau bertekad untuk memastikan nama Natasya terus gah dalam pasaran tempatan dan juga berjaya meneroka pasaran antarabangsa sedikit masa lagi.
“Sebagai wanita jangan menganggap diri kita lemah sebaliknya perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga serta jangan cepat mengalah apabila diduga. Walau apa sekalipun yang dilakukan kita perlu kekal cantik dan tampil sebagai seorang yang mempunyai personaliti menarik serta dikagumi ramai,” katanya. Natasya diuruskan oleh Perwanza Enterprise Sdn. Bhd, Blok H, Unit M 15 & M17, Plaza Suria Jalan PJU 10/4B Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor. Maklumat hubungi 03-61414678.

ARTIKEL 4:

Rahsia langsing Rozita

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my


KEISTIMEWAAN Rozita Ibrahim adalah mencuba setiap produk yang dihasilkan. Beliau sanggup menjadi bahan eksperimen. Jika kebanyakan produk menampilkan orang lain sebagai ‘testimoni’, Rozita sebaliknya. Pengasas Sendayu Tinggi itu menjadi model produk keluarannya, itu pun setelah memastikan keberkesanannya menerusi pengalaman diri sendiri.
Beliau tidak pernah peduli apa kata orang lain. Yang penting adalah kepuasan pengguna produk Sendayu Tinggi yang hakikatnya telah mengangkat nama Rozita sebagai salah seorang jutawan kosmetik.
Sebab itu beliau tidak pernah berhenti menghasilkan yang terbaik. Rangkaian produk Sendayu Tinggi tidak terhad untuk kecantikan semata-mata. Bagi Rozita, cantik mesti seiring dengan sihat, justeru barisan produk Sendayu Tinggi mensasarkan kedua-duanya. Menariknya, biar pun telah ada rangkaian produk untuk mengatasi sesuatu masalah, Rozita tidak mahu berhenti setakat itu. Beliau sentiasa mahu penambahbaikan dan menjadikan penyelidikan sebagai asas kekuatan produk yang dihasilkannya.

Sebab itu biar pun Sendayu Tinggi telah mempunyai rangkaian produk pelangsingan badan misalnya, Rozita mahu melakukan penambahbaikan terutamanya apabila ada pelanggan yang tidak begitu sesuai menggunakan produk tersebut.

Untuk itu, Rozita sekali lagi menjadikan dirinya sebagai bahan eksperimen, kebetulan beliau mengalami masalah kegemukan selepas melahirkan anak kira-kira dua tahun lalu. Berat badannya meningkat daripada 51 kilogram sehingga mencecah 72 kilogram.

‘‘Saya akui agak tertekan dan mengalami pelbagai masalah termasuk sukar berdiri selepas bangun tidur, sakit tumit, sakit otot dan malas bergerak.
‘‘Anak sulung saya yang juga Pengarah Eksekutif Sendayu Tinggi berseloroh agar saya kurus semula demi kesihatan dan demi jenama Sendayu Tinggi,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Biar pun nada berseloroh tetapi Noorhayati Kamaruzaman hakikatnya serius mahu ibunya kembali kurus. Beliau bimbang ibunya mengalami penyakit, selain kecantikan pengasas Sendayu Tinggi itu yang semakin tenggelam akibat masalah kegemukan, malah wajah Rozita juga kelihatan tua.

‘‘Bila gemuk bukan sahaja pipi kembang, hidung pun ikut kembang sekali. Hilang seri awet muda,’’ katanya. Sejak itu pelbagai usaha dibuat termasuk menjaga pemakanan namun usahanya selama setahun tidak membuahkan hasil.
Hasil penyelidikan Rozita dan anaknya, serta lawatan ke pameran di luar negara membawa kepada penemuan ekstrak seperti Garnicia Cambogia serta Citrus Aurantium yang sangat bagus dalam membantu proses menurunkan berat badan.

Sekembalinya ke Malaysia, beliau mencuba satu formulasi daripada ekstrak tersebut dan hasilnya ternyata memberangsangkan. ‘‘Dua bulan pertama berat saya turun sebanyak 2 kilogram. Sememangnya saya sangat teruja dan pada masa yang sama mengekalkan amalan diet antara lain mengelak makanan sayuran dari pucuk, kekacang dan lain-lain,’’ katanya.
Daripada itu lahirlah minuman pelangsingan Bio Triple Slym berasaskan herba yang membantu mengurangkan selera dan menawarkan kesan tiga kali ganda lebih cepat.

‘‘Istimewanya minuman ini turut membekalkan tenaga. Gabungan diet dan produk terbaru Sendayu Tinggi ini berat badan saya turun daripada 71 kilogram kepada 52 kilogram,’’ katanya.Teruja berjaya meyarung baju-baju lama dan penampilan diri semakin jelita, Rozita mensasarkan berat badan 48 kilogram. Mahu berkongsi resipi tampil langsing, anggun dan sihat dengan mereka yang peka kesihatan diri, Bio Triple Slym ditawarkan pada harga hanya RM44.
Selain itu, beliau turut memperkenalkan Lempoyang Heat Cream iaitu minyak panas yang memberikan kesan panas sehingga 24 jam untuk kelegaan sakit-sakit sendi, menghilangkan perut buncit selepas bersalin, mengurangkan lemak dan ketidakselesaan badan. Tentunya lempoyang menawarkan keistimewaan tersendiri berdasarkan kajian yang telah dibuat. Kedua-dua produk terkini itu melengkapkan set pelansingan awal iaitu Lucimax, Garlic Plus dan Slimmertique yang sehingga kini bertahan di pasaran.

Berminat mengetahui lebih lanjut tentang Bio Triple Slim dan Lempoyang Heat, boleh hubungi ibu pejabat Wisma Sendayu Tinggi di talian 0326935133.

Penangan Jamu Mak Dara

2012/11/12 - 05:49:03 AM Oleh Hidayah Mohammad 
  



Halimah bangkit daripada kesengsaraan hidup popularkan jamu tradisional warisan ibu

Tubuh ramping bak kerengga wajah sentiasa menguntum senyum, perwatakan mengagumkan, apatah lagi bergaya dengan baju kebaya dan berkasut tumit lima inci, bagi yang belum mengenali wanita cemerlang ini pasti tidak menyangka sudah memiliki 20 cucu dan lima cicit serta bebas daripada sebarang penyakit.
Ternyata personalitinya dikagumi ramai khususnya wanita kerana dalam usia 68 tahun ini, pemilik nama, Halimah Shuib cukup sinonim dengan Mak Dara sudah meniti di bibir masyarakat atas kegigihannya membangunkan industri jamu tradisional, Jamu Mak Dara.

Dengan keperitan hidup dilalui, saya bertekad menjadikan ramuan jamu buatan ibu sebagai permulaan menjana pendapatan. Saya tidak menyangka jamu itu mendapat sambutan ramai," Halimah Shuib, Pengasas Jamu Mak Dara

Aura, kudrat dan susuk tubuh Halimah yang langsing menjadi idaman wanita lain meskipun sudah tergolong sebagai warga emas. Dalam pada ramai wanita yang bertubuh gemuk, mengeleber dan kendur, beliau tetap anggun dan cantik berkebaya ketat.

Gemar kepada kecantikan dan sentiasa menjaga penampilan tertanam dalam dirinya sejak usia muda. Tidak mustahil Halimah menjuarai 14 kali Ratu Kebaya sejak berusia 11 tahun di negeri kelahirannya, di Kampung Rengit, Batu Pahat, Johor.

Namun, banyak cerita menarik wajar dicontohi wanita lain kerana mampu bergelar usahawan berjaya, malah aura tampil menawan mencipta sejarah tersendiri.

Sepanjang perbualan dan persoalan diajukan perkataan ‘sabar’ tidak pernah lekang daripada mulutnya. Menjadikan sabar sebagai resipi hidup dengan menerapkan sifat murni sebenarnya menyimpan sejarah lara sebelum bangkit mencapai puncak kejayaan menerusi jenama Jamu Mak Dara.

Ibu ikon kejayaan

Berbekalkan kesabaran, berfikiran positif dan patuh pesanan ibunya, menjadikan Halimah, hari ini, wanita yang disegani dan dikenali di seluruh negara dengan wajahnya terpampang di dada akhbar dan majalah dengan kebaya ketat bagaikan anak dara.

“Menjadikan ibu saya, Mak Dara Latiff sebagai ikon atas kejayaan ini. Dengan keperitan hidup dilalui saya bertekad menjadikan ramuan jamu buatan ibu sebagai permulaan menjana pendapatan. Bermula dengan membuatnya sendiri dan memasarkan secara kecil-kecilan di sebuah kedai runcit di Rengit. Saya tidak menyangka jamu itu mendapat sambutan ramai.

“Produk jamu pertama bertujuan memberi tenaga dan untuk ‘kecantikan sejati’. Tidak sangka setiap masa ada saja permintaan kerana pelanggan berpendapat ia bagaikan serbuk jamu ‘ajaib’ yang memberikan tenaga dan menguatkan badan.

“Apabila permintaan semakin memberangsangkan, saya dan adik-beradik berbincang membangunkan jamu ini dan memasarkannya ke peringkat lebih luas di sekitar Johor dan membuka ibu pejabat di Kuala Lumpur,” katanya.

Halimah mengambil masa agak lama untuk memperluaskan perniagaan seperti yang dilihat sekarang. Bermula dengan hanya satu serbuk ajaib Mak Dara itu, asalnya hanya mensasarkan kepada wanita di kampung yang sering melakukan kerja berat.

Kini beliau memiliki sebuah syarikat unggul, kilang memproses, pekerja, pengedar di seluruh negara serta berjaya menghasilkan lebih ratusan produk kecantikan badan luar dan dalam.

“Memiliki sendiri syarikat yang menghasilkan produk kecantikan bukan mudah. Tanpa anak lelaki saya, Syed Muhamad Gadaffi Syed Ali yang juga Pengarah Urusan syarikat mana mungkin jenama Jamu Mak Dara akan berdiri kukuh dalam industri kecantikan. Dialah tonggak kepada kejayaan hari ini,” katanya yang berasa penuh bangga dengan corak pemasaran yang dirancang oleh anak sulungnya itu.

Rahsia kecantikan

Rahsia kecantikan dan kelangsingan Halimah ialah mengamalkan makan jamu sejak usia muda, sentiasa senyum dan berhati baik dan bersih.

“Siapa sangka saya berusia hampir 70 tahun memiliki enam anak, 20 cucu dan lima cicit itu sehingga kini masih lagi ramping dan mampu menggayakan kasut bertumit setinggi lima inci setiap hari. Malah, saya bersyukur kerana tidak menghidap sebarang penyakit pada usia sekarang malah masih lagi kuat berjalan,” katanya menasihatkan orang supaya bersabar, tetapkan matlamat dan bersemangat memburu kejayaan.

“Kebanyakan orang Melayu cepat naik angin, meradang dan terlalu ikutkan hati. Sikap sebegitu menyukarkan kita untuk maju. Terokai apa saja bidang, tidak perlu tidak putus asa, tingkah laku baik, jangan bermasam muka dan sentiasa senyum.

“Kita jangan terlalu negatif dan perlu ceria supaya orang senang bekerjasama dengan kita. Tenang juga antara petua semula jadi untuk nampak cantik dan sihat. Sifat tidak baik akan terpancar pada air muka,” katanya.

Selain jual jamu, syarikatnya membuka kedai Bakeri Ibu menjual pelbagai jenis roti, mufin dan kek sejak dua tahun lalu, di Taman Pelangi, Semenyih dan di pasaran di seluruh negara.

Beliau juga mempunyai agensi pakej pelancongan, Alhafshi Travel Agent selain merancang membuka butik.

Pahit getir tempuh kehidupan

Sebelum bergelar usahawan Jamu Mak Dara, Halimah melalui pelbagai liku dan kegetiran membina keluarga dan membesarkan anak.

“Selepas bercerai saya menyara anak dengan menjual nasi campur di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Rata-rata pelanggan suka masakan saya. Mereka kata tidak sesuai dijual di tepi jalan tetapi lebih elok disediakan di restoran.

“Ada yang menawarkan modal RM36,000 buka kedai dengan perbelanjaan ditanggung pihak berkenaan. Saya tolak tawaran itu kerana tidak mahu termakan budi. Saya pernah dihalau pihak penguat kuasa bandaraya.

“Semua barang disita dan selama beberapa bulan saya putus punca pendapatan. Kemudian saya menjadi tukang masak di Genting Highlands. Ramai orang suka masakan saya di restoran tempat saya bekerja,” katanya.

Halimah gigih membesarkan dan mengetepikan pelbagai tohmahan dan fitnah orang ramai apabila ada yang mengadu kepada ibunya beliau melakukan pekerjaan tidak halal di Genting Highlands.

INFO: Biodata Halimah
Nama: Halimah Shuib
Umur : 68
Keturunan: Darah kacukan Jawa Ponorogo
Asal: Kampung Rengit, Batu Pahat, Johor

Pencapaian:
* Memenangi beberapa pertandingan memasak di Johor
* Pernah berkhidmat sebagai tukang masak masakan tradisi di Brunei, Singapura, Johor, dan Pahang.
* 14 kali juara Ratu Kebaya (1955 hingga 1961).
* Terbitkan buku pertama berjudul Masakan Tradisi Johor (2004)
* Mengendalikan bengkel kesihatan wanita dan bengkel masakan tradisional
* Pengusaha kedai kek, roti, dan pastri di seluruh negara.

Manfaat Produk Jamu Mak Dara untuk wanita:
* Menyuburkan rahim
* Mengatasi masalah keputihan
* Merapatkan faraj
* Memberi tenaga
* Membuang toksik dalam badan
* Memperbaiki sistem kitaran haid
* Membakar lemak berlebihan
* Membuang angin
* Mengurangkan masalah bau badan
* Mengatasi masalah kemaluan berbau
* Mengurangkan kesakitan di bahagian pinggang
* Mengurangkan lemah badan (ibu selepas bersalin)

Artikel 6:


SimplySiti: Dato’ Siti Nurhaliza


http://www.usahawan.com/wp-content/uploads/2011/12/artis-malaysia-siti.jpg


Usahawan yang ketiga untuk dibicara ini ialah siapa lagi kalau bukan Penyanyi No 1 Malaysia, Dato’ Siti Nurhaliza. Pelancaran produk kosmetik dan penjagaan kulit jenamanya sendiri iaitu “SimplySiti” sememangnya mendapat sambutan hangat daripada peminat beliau yang pastinya sangatlah ramai di seluruh negara termasuk di Singapura, Brunei dan Indonesia.

Pelaburan besar telah dibuat untuk menghasilkan produk kecantikan bermutu merangkumi penjagaan kulit SimplySiti C Bright, SimplySiti New Age dan SimplySiti Acne Solution selain Krim Simply 5 yang istimewa. Harapan ahli perniagaan muda ini adalah supaya produk sulung beliau mampu menembusi pasaran negara luar terutama jiran terdekat iaitu Singapura, Brunei dan Indonesia selain Timur Tengah memandangkan ia diiktiraf halal oleh Jakim. Ini penting kerana majoriti bakal pembeli produk ini adalah terdiri daripada golongan orang islam.

Memanfaatkan pengalaman menjadi duta produk kecantikan seperti Maybelline & Pantene, semua produk SimplySiti dipasarkan di lebih 200 rangkaian farmasi Watson seluruh negara dan pasar raya Jusco. Kehadiran suami beliau, Dato’ Khalid sebagai rakan kongsi yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan sememangnya membantu menjayakan perniagaan kosmetik beliau.
Mesti ramai yang ingat produk ini hanya sekadar untuk menambah satu lagi punca pendapatan figura terkenal ini. Tak mungkin beliau sendiri memakainya. Betul? Stigma itu salah! Dato’ Siti telah menggunakan dan menguji produk yang diproses ketika R&D dijalankan selama 6 bulan sebelum ianya berjaya dipasarkan kepada orang ramai.
Menggunakan khidmat ahli saintis dari Korea, bahan-bahan yang digunakan dalam produk SimplySiti semuanya berunsurkan bahan-bahan semula jadi seperti ekstrak daun Prunella Vulgaris yang mampu merawat semuala luka dan radang kulit. Sepertimana yang diketahui, Korea merupakan pusat pembikinan dan pembuatan produk kosmetik yang terunggul di dunia, Dato Siti dan pasukannya telah membawa beberapa ahli saintis Korea ke Malaysia untuk mengkaji dan merasai cuaca di sini supaya mereka faham masalah dialami oleh wanita-wanita di Malaysia. Hebat, bukan?
Tetapi ini tidak bermaksud percaturan beliau lancar. Baru-baru ini produk kosmetik SimplySiti dikatakan mengunakan berus bulu babi dalam produknya. Menjawab spekulasi yang mampu menggagalkan perniagaan sekaligus mencemarkan imej baik yang dipelihara beliau, Dato’ Siti menafikan dakwaan tersebut dengan segera. Sejurus selepas itu, dalam masa beberapa hari sahaja, kesemua produk keluaran syarikat tersebut disahkan secara rasmi telah mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sebelum dipasarkan kepada umum. Alah bisa tegal biasa lah katakan kalau menghadapi dugaan ketika berniaga kan?

Dan seperti yang boleh diagak, jualan produk SimplySiti sangat memberansangkan walaupun baru satu bulan ia dilancarkan. Dato Siti lah katakan, personaliti yang hebat, kareer yang mantap, sudah tentu jualan pun mengkagumkan!


Artikel 7:


Rahsia usahawan kosmetik

Oleh Hafizahril Hamid © Utusan Melayu (M) Bhd 

Roslawati Ramly


SEBUT sahaja tentang kecantikan kita pastinya mengaitkan dengan wanita. Satu perkara yang mungkin kita terlepas pandang dalam soal kecantikan iaitu ia sangat membantu para usahawan produk kecantikan memajukan perniagaan mereka.

Dalam melihat kejayaan wanita yang terlibat dalam perniagaan kecantikan, selalunya kita hanya melihat kisah kejayaan mereka. Tetapi pastinya di sebalik cerita kejayaan akan terselit liku-liku kepayahan dalam mengharungi hidup dan perniagaan.

Penceraian jadi dorongan
Pengalaman hidup yang diharungi oleh usahawan kosmetik berjaya Datuk Sosilawati Lawiya dalam mengharungi liku-liku kehidupannya sememangnya sangat mengharukan. Akibat kegagalan perkahwinan benar-benar mengajar beliau erti kehidupan.
Satu ketika dahulu wanita ini pernah menjaja produk kecantikan dari rumah ke rumah sambil mengendong bayinya. Ini semata-mata untuk mendapatkan wang bagi menyara enam anaknya yang masih kecil selepas suami yang menjadi tempat bergantung menceraikannya.
Biarpun tidak pernah keluar bekerja sepanjang bergelar isteri, Sosilawati tidak pernah menjadikannya sebagai alasan untuk mengharap belas ehsan daripada orang lain bagi meneruskan kehidupan.

Menurut wanita kelahiran Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini, penceraian pada usia awal 30-an telah menjadikannya lebih berani untuk menongkah liku-liku kehidupan.
“Saya akui, perceraian pertama memang perit apatah lagi di bahu saya tergalas tanggungjawab untuk memastikan anak-anak membesar dengan sempurna,’’ katanya.
Sosilawati percaya bahawa jodoh dan pertemuan itu urusan Tuhan malah tidak keterlaluan jika dikatakan perceraian tersebut menjadi pencetus kepada kejayaannya sekarang.
Bagi beliau peristiwa itu mengajarnya untuk berdikari dan mula bercampur dengan rakan-rakan yang terlibat dalam perniagaan kosmetik dan kecantikan dan mendapati ia merupakan sebuah perniagaan yang bagus. Berkat kesabaran dan menganggap kegagalan sebagai pengajaran, Sosilawati gigih mengusahakan rangkaian produk kecantikan Nouvella Visage (NV) malah sudah bergelar usahawan kosmetik berjaya pada usia 40-an.
Mengakui tidak mempunyai pendidikan yang tinggi hanya sekadar SPM sahaja namun beliau sanggup bermula dari bawah.

“Pada asalnya saya hanya menjual produk kosmetik orang lain kemudian saya menubuhkan butik kecantikan. Saya buat sendiri semua urusan dari memberi facial hinggalah menarik pelanggan. Namun berkat dari usaha bersungguh-sungguh dan tidak mengenal erti putus asa, saya menikmati hasilnya sekarang,” katanya.


Artikel 8:


Ekonomi negara Malaysia yang stabil dan kewujudan sistem francais menggalakkan peningkatan usahawan dalam bidang ini.

Produk kecantikan antarabangsa yang ada dalam pasaran memerlukan kos yang tinggi untuk dimiliki, tetapi produk usahawan tempatan pula sememangnya direka untuk di sasarkan kepada semua golongan termasuk pertengahan dan bawahan.

Produk kecantikan usahawan tempatan kebanyakannya adalah berasaskan herba dan barangan yang halal.  Dengan pembinaan kilang tempatan pula, kapasiti dan operasi pengeluaran produk dapat dipertingkatkan.
Kisah silam usahawan tempatan yang hidup mereka susah ketika zaman kanak-kanak menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berusaha mengubah kehidupan yang lebih baik tanpa mengenal erti putus asa.  Dugaan yang hebat sebelum dan selepas memulakan perniagaan menjadikan mereka cekal dalam mengharungi onak dan duri dalam bidang perniagaan ini.

Taraf penghidupan yang tinggi daripada segi ekonomi, contohnya memiliki kereta dan rumah mewah, mendapat pendapatan bulanan 5 – 6 angka menjadi daya penarik untuk seseorang itu menceburi bidang perniagaan produk kecantikan diri.

Beberapa kisah pengasas produk kecantikan diri ini diceritakan semula dalam artikel ini.  Minat yang berterusan terhadap bidang kecantikan menjadikan usahawan ini antara yang terkenal sehingga ke hari ini.

Puan Rozita Ibrahim – Pengasas Produk Sendayu Tinggi

Walaupun sudah berusia 47 tahun dan mempunyai 8 orang anak, susuk tubuh Rozita masih langsing seperti anak dara.  Seorang yang sangat berdedikasi dalam membina empayar perniagaannya, Rozita sanggup bersengkang mata dan adakalanya hanya tidur tiga jam setiap malam demi untuk memajukan perniagaannya.  Merupakan Pengarah Urusan Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd dan Jamu Ratu Malaya Sdn Bhd, Rozita tidak pernah menjadikan kesibukan menguruskan dua syarikat sebagai alasan untuk mengabaikan kesihatan dan kecantikan, malah begitu teliti dalam pemilihan makanan yang berkhasiat dan berkualiti.  Dia memperuntukkan sejumlah wang untuk mengambil makanan tambahan lain termasuk vitamin dan spirulina, gingko keluaran syarikatnya sendiri, Sendayu Tinggi.

Kejayaan Rozita dan syarikat Sendayu Tinggi tidak terjadi dalam sekelip mata.  Dia yang terkenal dengan kisah silam nya yang dipenuhi kedaifan dan serba kekurangan, pernah menoreh getah semata-mata kerana ingin mencari sesuap nasi untuk anak-anaknya.  Akibat ketiadaan wang untuk membeli susu, dia juga pernah memberi bayi kecilnya minum air sirap bagi menggantikan susu.  Dugaan dating bertimpa-timpa apabila ditakdirkan anak keduanya pergi meninggalkan dunia dalam usia yang masih muda.  Ketika anaknya itu sakit, Rozita pernah menampal badan anaknya dengan daun-daun kayu bagi menggantikan ubat yang dia sendiri tidak mampu untuk membeli pada ketika itu.  Dengan hanya bermodalkan RM400, dia memulakan perniagaan Sendayu Tinggi dengan menjadikan herba sebagai sandaran.  Pada mulanya dia hanya menjual produk herbanya dari rumah ke rumah.  Sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga akhirnya Rozita menubuhkan syarikatnya sendiri, Sendayu Tinggi Enterprise pada tahun 2000.

Kini Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd. mempunyai 9 buah anak syarikat iaitu Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd, Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd, Sendayu Tinggi Properties & Management Sdn Bhd, ST Advertising Agency Sdn. Bhd, C Max Exhibition & Promotion, Sendayu Tinggi Logistics (M) Sdn Bhd, Ethnique Food Industries Sdn Bhd, ST Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd. Sendayu Tinggi juga telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional iaitu Sendayu Tinggi Manufacturing (M) Sdn. Bhd.  Jumlah pengedar kini lebih 2,000 orang di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan terbaru di Jepun, China, Taiwan dan Korea.

Atas ketabahan, kekuatan dan usaha kerasnya memartabatkan produk kecantikan diri di negara kita, Rozita pernah dianugerahkan Usahawan Wanita 2005 oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Datin Ira Abdul Ghani – Pengasas Produk Aura Seri

Datin Ira atau nama sebenarnya Nor Zaina Abd Ghani merupakan seorang gadis biasa yang berasal dari kampung.  Dia banyak merantau untuk mencari pengalaman hidup.  Sama seperti Rozita, Datin Ira juga pernah mengharungi kehidupan yang amat pahit pada usia mudanya.  Semua ini tidak dijadikan penghalang untuknya terus berjaya. Berkahwin pada usia yang muda juga bukan penghalang dan berkat sokongan suami dan minat yang mendalam kepada kecantikan membuatkan beliau berani menceburkan diri dalam bidang kecantikan ini. Tanpa berbekalkan sebarang pinjaman dan bantuan wang ringgit, beliau dan suami memberanikan diri untuk menceburi bidang ini.

Datin Ira memperoleh Diploma Kecantikan in Alternative Medicine di Universiti Terbuka Antarabangsa, Calcutta India, dan kini merupakan pengarah Eksekutif Positive Image Resources dan pengasas Kosmetik Aura Sri.

Apabila ditanya tentang matlamat hidupnya, dia ingin melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera terutamanya wanita yang berjaya dalam bidang perniagaan.  Dia juga mahu menjadi ikon dan inspirasi kepada wanita-wanita agar berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.  Impiannya kini adalah untuk menubuhkan Yayasan Aura Seri untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik, khususnya dari aspek pendidikan, kebajikan dan lain-lain.  Bak kata pepatah rezeki tidak datang bergolek. Berkat kesungguhan dan motivasi diri yang tinggi ianya terbukti membawa kejayaan dan kini dia sudah berjaya bergelar ‘Jutawan Kosmetik’.

Erni Dekritawati Yuliana Buhari – Pengasas Produk Nouvelles Visages

Tragedi yang menimpa ibunya, Datuk Sosilawati Lawiya mengemparkan dunia.  Tragedi itu kemudiannya mengubah kehidupan Erni Dekritawati Yuliana Buhari.  Pada usia 25 tahun, beliau telah terpaksa memikul tanggungjawab yang ditinggalkan ibunya.  Satu tanggungjawab yang besar memerlukan dia cekal, secekal ibunya dalam mengharungi dunia perniagaan serba mencabar.
Empayar Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 1994 kini sudah menjangkau seluruh Brunei, Thailand, Singapura dan Indonesia dan dinilai kan melebihi RM 100 juta.  Beribu pejabat di Cyberjaya, syarikat itu kini giat merancang untuk mengembangkan jenama Nouvelles Visages dengan memperkenalkan produk alat solek,  penjagaan produk penjagaan kulit, badan dan rambut untuk farmasi dan pasar raya besar tempatan tidak lama lagi.   Nouvelles Visages juga sedang mengintai peluang untuk menembusi pasaran Timur Tengah. Pada masa ini, terdapat lebih 30 stokis dan 500 cawangan di Malaysia.

Kini, produk Nouvelles Visages sudah berada di pasaran lebih 18 tahun.  Bagi Erni atau lebih dikenali sebagai Rita, cabarannya adalah untuk mengekalkan perniagaan ini untuk tempoh 20 tahun akan datang.  Matlamatnya adalah untuk memajukan lagi perniagaan kecantikan diri ini bagi memastikan ia kukuh dan boleh bersaing di pasaran antarabangsa.

Diajar berdikari sejak kecil, Rita mendapat pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni (Tekstil) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Perniagaan Antarabangsa di Universiti Nottingham Trent, United Kingdom.

Pendedahan dalam dunia perniagaan bermula sejak daripada bangku sekolah menengah lagi dan kini beliau telah berani melakukan beberapa gelombang perubahan seperti mengubah kaedah pemasaran produk yang lebih moden dan mengikut peredaran masa. Rita juga bijak menggunakan saluran media cetak dan elektronik selain laman web sendiri dalam mengetengahkan produk kecantikan Nouvelles Visages.

Kesimpulan

Wanita dan kecantikan sangat sinonim. Kedua-duanya tidak akan terpisah dan tidak boleh dipisahkan. Sebut sahaja tentang kecantikan kita pasti akan mengaitkannya dengan wanita. Kecantikan juga secara tidak langsung telah membantu para usahawan produk kecantikan memajukan perniagaan mereka.   Ada sesetengah antara mereka ini yang telah pun bergelar jutawan kosmetik.

Untuk menjadi jutawan, corak minda dan jiwa mereka telah berubah.  Untuk menjadi jutawan, mereka menekankan aspek disiplin dan juga perancangan yang bijak.  Ketiga-tiga pengasas produk kecantikan di atas membuktikan yang untuk menjadi jutawan, ia tidak datang sekelip mata malahan perlu disertakan dengan usaha-usaha yang lain.  Kebanyakan mereka, walaupun sudah bergelar jutawan, tetapi tidak lupa pada asal-usul mereka.  Dalam melihat kejayaan wanita yang terlibat dalam perniagaan kecantikan, selalunya kita hanya melihat kisah kejayaan mereka. Tetapi pastinya di sebalik cerita kejayaan akan ada terselit liku-liku kepayahan dalam mengharungi hidup dan perniagaan.  Syabas diucapkan kepada yang telah berjaya, namun bagi yang masih merangkak jadikan cerita-cerita mereka ini sebagai pedoman kejayaan.


Artikel 9:

Nouvelles Visages utamakan kepuasan pelanggan



BAGI wanita yang mementingkan penampilan diri terutama kecantikan wajah, pemilihan produk yang tepat dan sesuai menjadi keutamaan mereka.



Stokis-stokis yang mencatatkan jualan tertinggi mendapat hadiah penghargaan.

Oleh Najibah Hassan

Elemen lain yang juga penting ialah kepuasan dan keyakinan.
Untuk memenuhi aspirasi ini, label Nouvelles Visages (NV) telah melancarkan rangkaian produk barunya di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed.

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Centre, Sosilawati Lawiya, bagi memastikan produk kecantikan itu selamat digunakan, produk NV diformulasikan berasaskan sari buah-buahan dan bunga-bungaan.
Beliau memberitahu, produk itu juga bebas daripada campuran bahan-bahan tiruan, kimia hidrokuinon dan alkohol.

"Kandungan produk NV dihasilkan bagi mencakupi keperluan dan kehendak kulit masyarakat Asia,'' katanya.
Produk yang dihasilkan mener
usi gabungan teknologi terkini itu dipekkan dengan penampilan yang cukup menarik sesuai dengan kehendak pelanggan masa kini. Perubahan dan penampilan produk ini bergantung kepada permintaan. Namun pada masa yang sama, kami tidak mengabaikan kajian dan penyelidikan yang berterusan,'' katanya.

Bermula dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, NV memiliki segala-galanya yang diperlukan oleh seorang wanita termasuklah rawatan mencantikkan wajah dan tubuh.
Sesuai dengan namanya Nouvelles Visages yang bermaksud kulit baru, produk buatan Malaysia itu mampu merubah kulit wajah sekali gus penampilan diri.

Produk kecantikan yang berada di pasaran sejak empat tahun lalu itu terbukti berupaya duduk sebaris dengan produk yang telah lama berada di pasaran dan setanding dengan jenama terkenal dari luar negara.

Sosilawati memberitahu, bagi meyakini pengguna bahawa produknya selamat digunakan, produk itu telah berdaftar dengan Kawalan Farmasi, Kementerian Kesihatan.

Pada majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini, seramai 20 stokis dan salun terpilih Nouvelles Visages menerima sijil penghargaan. Mereka diraikan sebagai mengiktiraf sumbangan mereka dalam mempopularkan lagi jenama produk kecantikan itu.
Sebagai memenuhi tanggungjawab sosial, NV turut menyumbangkan derma sebanyak RM15,000 kepada Rumah Kebajikan Tengku Budriah, Cheras yang diwakili oleh isteri Timbalan Menteri Kesihatan, Datin Seri Aida Saari.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular Ziana Zain.
Mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-40251517, 03-4025 1519 atau 012-2222541.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Artikel 10:

Wani popularkan kosmetik halalOleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAHadawiyah.koh@utusan.com.my


kaunter FCC yang terletak di Parkson, Terminal 1, Seremban, Negeri Sembilan.

PERTAMA kali bertemu dengan usahawan kosmetik, Ili Zawani Ismail, penulis berasa kagum dengan pencapaiannya dalam usia yang muda.

Ili Zawani yang mesra disapa sebagai Wani mampu berbangga apabila berpeluang menjadi Pengarah Urusan Naturalife Solution Sdn. Bhd sejak berusia 19 tahun lagi.

Wani, 27 bertuah kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang terlibat dengan pelbagai jenis perniagaan.
Segalanya bermula ketika Wani sedang menduduki tahun akhir jurusan perakaunan, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Kolej Universiti Sunway.

"Bapa memerlukan seseorang yang dipercayai untuk menguruskan syarikat yang baru dibuka dan beliau meletakkan tanggungjawab tersebut pada saya.

Pada mulanya, saya rasa tertekan kerana tidak yakin dengan kemampuan diri yang tidak mempunyai apa-apa pengalaman dan juga ilmu dalam perniagaan. Apatah lagi tanggungjawab yang besar ini digalas pada tahun akhir pembelajaran saya.

Tapi kata-kata semangat dan nasihat daripada orang sekeliling yang sudah berpengalaman memberi motivasi dan kekuatan pada saya untuk mengambil cabaran ini dan buktikan bahawa saya mampu menjalankannya dengan baik," ujarnya.

Kenapa kosmetik halal? Orang kata kecantikan terlalu dekat dengan wanita dan Wani percaya 'wanita dan kecantikan tidak mungkin dipisahkan'.

Baginya, walau dalam apa keadaan ekonomi sekalipun, wanita masih memerlukan barangan kosmetik bagi penjagaan diri sepanjang masa.

"Saya melihat kosmetik halal sudah menjadi pilihan utama di kalangan masyarakat khususnya yang beragama Islam.

Saya sangat teruja apabila produk antarabangsa yang berkualiti tinggi tapi ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan seperti kosmetik halal dari Istanbul, Turki, Farmasi Colour Cosmetics (FCC) diterima di Malaysia," katanya.

CabaranWani mengakui memimpin sebuah organisasi pada usia muda bukanlah suatu tugas yang mudah. Baginya, 'mengurus manusia' merupakan suatu cabaran yang paling besar kerana setiap individu mempunyai karakter dan pandangan yang berbeza-beza.

"Sebagai ketua, saya perlu menggunakan pendekatan yang berlainan kepada setiap pekerja supaya mereka berkeyakinan diri dan menonjolkan kelebihan masing-masing dalam pekerjaan yang dilakukan sekali gus memberi keputusan yang cemerlang dalam kerja dan Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pasukan yang saya ada sekarang," ujarnya.

Walaupun wujudnya persaingan dalam perniagaan, Wani menganggap ia lumrah dalam perniagaan.
Bagi Wani, situasi ini memberi saingan yang sihat kerana syarikat yang sedang berkembang seperti kami akan belajar untuk memperbaiki diri dari pelbagai aspek dan maju setapak lagi ke hadapan.
KeluargaSecara jujurnya, Wani mengakui dalam membangunkan sebuah syarikat, banyak masa bersama keluarga yang terpaksa dikorbankan. Bak kata pepatah, 'bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian'.

Walau bagaimanapun, masa Wani untuk keluarga tetap ada cumanya dari segi kuantiti tak banyak, tapi berkualiti.

"Pada hujung minggu jika tidak ada kerja, saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah untuk berehat setelah seminggu penat bekerja. Selain itu, saya juga sering membantu ibu dan bapa dengan aktiviti sukarela di Madrasah Tazkiyah yang terletak di USJ 1, Subang Jaya, Selangor," katanya.
Jika terdapat kelapangan waktu yang lebih panjang, Wani suka melancong ke luar negara untuk menambah pengalaman dan meluaskan pandangan.


Sumber: Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Feminin/20130428/fe_02/Wani-popularkan-kosmetik-halal#ixzz2zopmRDxj
© Utusan Melayu (M) Bhd